Sunnah Bukan Sekadar Pakai Kopiah, Tiga Cara Mudah
Zahirkan Cinta Terhadap Rasulullah SAW
Sunnah Bukan Sekadar Pakai Kopiah, Tiga Cara Mudah
Zahirkan Cinta Terhadap Rasulullah SAW
Sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW hari ini bukan
saja menjadi hari penting pada semua umat Islam di seluruh dunia tapi rasa
cinta terhadap Rasulullah SAW boleh dizahirkan dengan tiga cara mudah ini.
Pendakwah popular, Dr Taha Mohd Omar atau lebih dikenali
sebagai Dr T menyatakan selain perarakan diadakan di pelbagai lokasi, umat
Islam pada zaman ini juga lebih bertuah kerana dapat membaca al-Quran menerusi
telefon pintar.
"Bila kita melihat anak-anak muda sekarang, boleh
dikatakan semua mengenali Muhammad SAW sebagai Nabi. Mereka juga tahu bahawa
agama Islam yang kita anuti ini adalah agama yang telah dibawa oleh Baginda
SAW.
"Akan tetapi sekadar mengenali Nabi Muhammad SAW
sebagai seorang Nabi, itu tidak cukup. Bahkan kita perlu mencintai Nabi
Muhammad SAW," katanya kepada Astro Gempak.
Ujarnya, cara pertama untuk menzahirkan cinta terhadap
Rasulullah SAW adalah dengan membaca sirah dan sejarah Baginda dan keluarganya.
"Hari ini anak-anak muda lebih gemar membaca dan
menonton program TV hero animasi, ada juga yang meminati artis-artis Korea dan
Barat dan jadikan mereka idola dan rujukan fesyen.
"Jadi pertama sekali, kita sebagai ibu bapa perlu
menerapkan cinta kepada Rasulullah SAW ke dalam hati anak-anak dengan
membacakan kisah atau sirah Nabi Muhammad SAW. Ditambah pula dengan bahan
bacaan harian sama ada dalam telefon pintar atau buku fizikal," katanya.
Penyampai jemputan radio Zayan ini juga menjelaskan cara
kedua pula adalah mendidik anak-anak remaja dengan mengamalkan sunnah-sunnah
kecil dan mudah.
"Sunnah bukan sekadar pada memakai kopiah, jubah dan
berserban. Sunnah yang utama adalah dalam akhlak dan adab. Seperti memberi
salam kepada semua, senyum, peramah, menghormati orang tua dan mengasihi yang
kecil.
"Bayangkan kalau kita dapat menerap adab dan akhlak
kepada anak-anak muda remaja kita, maka pastinya tak wujud istilah merempit dan
menyamun," katanya.
Bagi cara ketiga, Dr T yang juga Ketua Pegawai Eksekutif
Kolej Brainy Bunch menasihati ibu bapa agar mengambil peluang membawa anak-anak
ke masjid.
"Hati mereka akan menjadi lembut dan tertarik kepada
kebaikan. Caranya mudah, kita perlu cari tahu lokasi-lokasi (di kawasan
perumahan/flat/kampung) di mana anak-anak muda kita suka melepak kemudian kita
mendekati dan pujuk mereka untuk ke masjid bersama kita.
"Perbanyakkan program-program yang mesra belia,
seperti go-kart, grafiti, skateboard dan nyanyian (lagu positif atau nasyid).
Dengan ini belia akan ada perasaan 'sense of belonging' terhadap masjid.
"Maka inilah yang perlu diteruskan dalam usaha
menerapkan cinta Nabi Muhammad SAW ke dalam hati anak-anak muda dan bukan
sekadar ketika Maulidur Rasul iaitu setahun sekali," katanya.
0 komentar:
Posting Komentar