DOA ASMAUL HUSNA
Alhamdulillahi rabbil a’lamin, Allahuma solli a’la
Muhammad wa a’laa aalihi wa ashaabihi ajamaiin.
Ya Allah! Dengan menadahkan tangan-tangan kami ini
kepada-Mu, kami mengharapkan Rahmat-Mu; Sesungguhnya Rahmat-Mu adalah luas dan
meluasi segala sesuatu.
Ya Allah! Kami beriman kepada-Mu, kewujudan-Mu dan
Kebesaran-Mu; Dikaulah Yang Maha Agung dan Maha segala-galanya.
1. Ya Allah! Ya Rahman, Ya Rahim, Dikaulah yang Maha
Pengasih dan Maha Penyayang. Kasihanilah kami ya Allah, kami sangat-sangat
mengharapkan belas kasihan daripada-Mu ya Allah. Sesungguhnya tidak ada yang
dapat memberikan kasih sayang yang sebenarnya melainkan hanya Dikau. Segala
kasih sayang yang pernah kami harapkan daripada selain-Mu, ternyata selalu
menghampakan kami ya Allah.
2. Ya Allah! Ya Malik, Raja kepada segala raja,
kepimpinan-Mu adalah yang terbaik dan akan membawa kepada kebaikan, tidak ada
yang lebih baik kepimpinannya melainkan hanya Dikau. Kami redha menjadikan-Mu
sebagai Pemimpin kami, yang lebih berhak dipatuhi daripada segala pemimpin yang
lain.
3. Ya Allah! Ya Quddus, yang Maha Suci, Dikaulah Tuhan
yang bersih daripada segala kelemahan, menyembuh dan mentaati hanya kepada-Mu
tidak akan merugikan kami. Sesungguhnya segala pengharapan yang dicurahkan
kepada selain Dikau selalu mengecewakan; Kami redha mempertuhankan Dikau Zat
yang Maha suci.
4. Ya Allah! Ya Salam, yang Maha Selamat, berikanlah
keselamatan kepada kami dan ahli keluarga kami. Peliharalah kami semua daripada
segala macam kejahatan dan keburukan. Selamatkanlah kami dengan kebesaran
nama-Mu ini daripada segala bencana dunia dan akhirat.
5. Ya Allah! Ya Mukmin, yang Maha Aman, amankanlah kami
daripada segala yang kami takuti. Amankanlah ahli keluarga kami daripada segala
sengketa, amankanlah kejiranan kami, amankanlah kawasan kami dan amankanlah
negara kami daripada segala kejahatan dan keburukan. Kami sedar bahawa, tidak
ada nikmat yang lebih baik daripada hidup dalam keadaan aman sentosa, rukun dan
damai.
6. Ya Allah! Ya Muhaimin, yang Maha Memelihara,
peliharalah kami daripada segala yang tidak kami kehendaki. Peliharalah kami
daripada segala yang keji, peliharalah kami daripada segala penyakit dan iri,
peliharalah kami daripada hasad dan dengki. Sesungguhnya sesiapa yang
dipelihara oleh-Mu akan selamatlah daripada segala yang tidak baik.
7. Ya Allah! Ya Aziz, yang Maha Mulia, Dikaulah yang
termulia, agama-Mu adalah mulia, Nabi-Mu adalah mulia, kitab-Mu adalah mulia,
maka masukkanlah kami di kalangan yang mulia.
8. Ya Allah! Ya Jabbar, yang Maha Perkasa bantulah kami
yang lemah ini, mengatasi segala muslihat mereka yang memusuhi kami. Berikanlah
kekuatan-Mu kepada kami.
9. Ya Allah! Ya Mutakabbir, yang Maha Megah, Dikaulah
berhak untuk memiliki sifat ini, kerana tidak ada yang lebih hebat daripada
Dikau, maka jauhkanlah kami daripada sifat bermegah-megah hingga menyebabkan
kami berhak menerima kemurkaan-Mu.
10. Ya Allah! Ya Khaliq, yang Maha Pencipta, ciptakanlah
untuk kami yang terbaik, ciptakanlah zuriat yang baik untuk kami, kami mahukan
seorang anak lelaki/perempuan atau cukuplah sudah anak-anak yang telah Dikau
berikan kepada kami. (mintalah mengikut apa yang kita perlukan). Ciptakanlah
kesempurnaan pada diri kami.
11. Ya Allah! Ya Bari’, Yang Maha Pembuat, buatkanlah
untuk kami apa sahaja yang baik untuk kami dunia dan akhirat dan jauhkan
daripada kami segala apa yang akan membinasakan kami.
12. Ya Allah! Ya Mushawwir, yang Maha Pembentuk,
bentuklah untuk kami apa yang kami kehendaki, bentuklah untuk kami zuriat
lelaki/perempuan, kembalikanlah kesempurnaan kami, hanya Dikau sahaja yang
berkuasa untuk membentuk dan mengubah segala bentuk.
13. Ya Allah! Ya Ghaffar, kami meminta keampunan-Mu,
ampunilah kami ya Allah, seandainya Dikau tidak mengampunkan kami, pastilah
kami akan sengsara dunia dan akhirat.
14. Ya Allah! Ya Qahhaar, yang Maha Pemaksa, kasihanilah
kami, dan jangan Dikau paksa kami melakukan sesuatu yang kami tidak mampu
melakukannya, janganlah Dikau paksakan kepada kami ujian yang terlalu berat
untuk kami, sebaliknya Dikau paksalah mereka, fulan bin fulan (sebut nama-nama)
atau sesiapa sahaja untuk menerima kami dan apa-apa daripada kami. Dikaulah
maha segala-galanya, dan paksakanlah musuh-musuh kami untuk melakukan sesuatu
yang baik untuk kami.
15. Ya Allah! Ya Wahhab, wahai Tuhan yang Maha Pemberi,
berikanlah kepada kami apa sahaja yang kami perlukan, (sebutkan apa yang
diperlukan), sesungguhnya apa yang Dikau berikan, tidak ada siapa yang dapat
menghalang, dan apa sahaja yang tidak Dikau berikan, tidak ada siapa yang dapat
memberinya.
16. Ya Allah! Ya Razzaq, wahai Tuhan yang Maha Pemberi
Rezeki, berikanlah kepada kami rezeki-Mu yang banyak, cukukanlah keperluan
kami, cukupkanlah keperluan anak-anak kami, cukupkanlah keperluan ahli keluarga
kami, janganlah sampai kami terpaksa meminta-minta akibat daripada kekurangan
rezeki.
17. Ya Allah! Ya Fattaah, wahai Tuhan yang Maha Pembuka,
bukakanlah untuk kami kejayaan dalam apa jua usaha kami, bukakanlah pintu
kefahaman kami, bukakanlah segala kesusahan dan kesukaran kami.
18. Ya Allah! Ya A’liim, wahai Tuhan yang Maha
Mengetahui, Dikau mengetahui sesuatu yang kami tidak ketahui, Dikau ketahui apa
yang ada di dalam hati-hati hamba-hamba-Mu, berikanlah kepada kami apa yang
Dikau ketahui baik untuk kami dunia dan akhirat, jauhkanlah dari kami apa-apa yang
Dikau ketahui tidak baik untuk kami dunia dan juga akhirat.
19. Ya Allah! Ya Qaabidh, wahai Tuhan yang Maha Pencabut,
cabutlah segala keburukan yang ada pada kami, dan janganlah Dikau cabut nikmat
yang Dikau telah berikan kepada kami lantaran daripada kelalaian dan kesilapan
kami, sesungguhnya akan binasalah kami tanpa nikmat daripada-Mu. Sebaliknya
Dikau cabutkan sahaja kekuasaan yang ada pada musuh kami .
20. Ya Allah! Ya Baasith, wahai Tuhan yang Maha Meluas,
kuasa-Mu adalah luas, nikmat-Mu adalah luas, Rahmat-mu adalah luas, segala-gala
kepunyaan-Mu adalah luas, luaskan Rahmat-Mu kepada kami, luaskan pemberian-Mu
kepada kami, luaskanlah pemeliharaan-Mu kepada kami.
21. Ya Allah! Ya Khaafidh, wahai Tuhan yang Maha
Menjatuhkan, Dikau akan menjatuhkan siapa yang Dikau kehendaki, maka jatuhkan
mereka yang memusuhi kami, jatuhkanlah mereka yang berniat mengkhianati kami,
Dikaulah maha segala-galanya dan kami tidak ada kuasa dan upaya.
22. Ya Allah! Ya Rafi’, wahai Tuhan yang Maha Mengangkat,
angkatlah darjat kami disisi-Mu, angkatlah darjat kami di dunia dan juga di
akirat. Angkatlah darjat kami di sisi mereka yang menghina kami.
23. Ya Allah! Ya Mu’iz, wahai Tuhan yang Maha Memuliakan,
Dikau memuliakan sesiapa yang Dikau kehendaki, maka muliakanlah kami di dunia
dan akhirat, muliakanlah kami di sisi mereka yang memandang rendah kepada kami.
Kalau tidak kepada-Mu, kepada siap lagi hendak kami berserah diri.
24. Ya Allah! Ya Mudzil, wahai Tuhan yang Maha Penghina,
tidak akan mulia orang yang Dikau hina dan tidak akan hina orang yang Dikau
muliakan, maka kepada Dikaulah tempat kami menaruh pengharapan kami;
Sesungguhnya Dikau tidak akan mensia-siakan kami, janganlah Dikau masukkan kami
di kalangan mereka yang hina.
25. Ya Allah! Ya Sami’, wahai Tuhan yang Maha Mendengar,
dengarkan segala rintihan kami, dengarlah segala doa dan permintaan kami,
janganlah Dikau palingkan diri-Mu daripada kami, lantaran daripada kederhakaan
kami, ampunilah kami.
26. Ya Allah! Ya Basir, wahai Tuhan Maha melihat, Dikau
melihat siang dan malam, Dikau melihat gelap dan terang, kepada-Mulah kami
menyerahkan diri kami, kami lemah tanpa penglihatan-Mu, Dikau dengarkanlah
untuk kami apa yang baik untuk kami, Dikau lihatkan untuk kami apa sahaja yang
baik untuk kami, siang dan malam, gelap dan terang.
27. Ya Allah! Ya Hakam, wahai Tuhan yang Maha Penentu
Hukum, segala hukum-hukum-Mu adalah yang paling adil, hukumkan yang baik untuk
kami, dan hukumkanlah yang sebaliknya untuk mereka yang berniat jahat kepada
kami. Dikaulah yang Maha Menghukum, dan hukuman-mu adalah dahsyat, jauhkanlah
kami daripada mendapatkan hukuman yang buruk daripada-Mu.
28. Ya Allah! Ya A’dl, wahai Tuhan yang Maha Adil, tidak
ada yang lebih Adil daripada-Mu, kepada Keadilan-Mu kami beriman, jadikanlah
kami orang yang adil, jadikanlah kami ibu/bapa yang adil, jadikanlah kami di
kalangan mereka yang sentiasa bersikap adil.
29. Ya Allah! Ya Latif, wahai Tuhan yang Maha Lembut,
lembutkanlah kami, lembutkanlah hati kami, lembutkanlah hati fulan bin fulan
(sebutkan nama) terhadap kami.
30. Ya Allah! Ya Khabir, wahai Tuhan yang Maha
Berwaspada, kewaspadaan-Mu mencakupi segala perkara, peliharalah kami daripada
segala mala petaka.
31. Ya Allah! Ya Halim, wahai Tuhan yang Maha Penyantun,
layanilah kami dengan kesantunan-Mu, kami berlindung diri dengan-Mu daripada
segala kekerasan-Mu.
32. Ya Allah! Ya A’zim, wahai Tuhan yang Maha Agung,
Dikaulah yang paling agung, tidak ada yang lebih agung daripada-Mu, bantulah
kami daripada segala pemimpin dan penguasa yang zalim, Dikaulah maha segala-galanya.
33. Ya Allah! Ya Ghafur, wahai Tuhan yang Maha Pengampun,
ampunkanlah segala kesalahan dan kesilapan kami, tukarkan kejahatan kami yang
lalu dengan kebaikan. Hapuskanlah segala dosa-dosa kami, Kami berharap agar
dapat mati dengan keadaan tiada dosa ya Allah, sesungguhnya azab-Mu menanti
mereka yang berdosa.
34. Ya Allah! Ya Syakur, wahai Tuhan yang Maha Menghargai
segala amalan kebaikan hamba-Nya, tatkala manusia tidak menghargai segala usaha
kebaikan kami kepada mereka, maka Dikau hargailah segala kebaikan amalan kami,
Dikaulah yang mengetahui akan kesungguhan kami, janganlah Dikau sia-siakan
segala amalan kami, kami sedar amalan kami terlalu banyak cacat dan
kekurangannya, maka dengan nama-Mu ini kami bermohon semoga Dikau terima segala
amalan-amalan kami.
35. Ya Allah! Ya A’liy, wahai Tuhan Maha Tinggi, tiada
yang lebih tinggi kedudukannya melainkan hanya Dikau, maka tinggikanlah juga
kami dalam penghidupan ini dan janganlah Dikau merendahkan kami.
36. Ya Allah! Ya Kabir, wahai Tuhan yang Maha Besar,
tiada yang memiliki kebesaran selain Dikau, jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang
akan sentiasa membesarkan-Mu, janganlah Dikau jadikan kami di kalangan mereka
yang membesarkan penghidupan dunia, membesarkan harta, membesarkan kedudukan
dan pangkat, membesarkan manusia. Kami sedar sikap sedemikian hanya akan
menyebabkan Dikau murka, maka jauhkanlah kami daripada segala yang menyebabkan
kemurkaan-Mu.
37. Ya Allah! Ya Hafiz, wahai Tuhan yang Maha Memelihara,
peliharalah kami semua, peliharalah anak-anak kami daripada segala bencana
keburukan, peliharalah kesemua ahli keluarga dan mereka yang kami sayangi
daripada segala yang tidak diingini, bencana, wabak, penyakit, kemiskinan,
perangai dan lain-lain keburukan.
38. Ya Allah! Ya Muqith, wahai Tuhan yang Maha Menepati
Waktu, tiada yang lebih daripada-Mu, setiap ciptaan-Mu telah Dikau berikan
tempoh dan masa, berikanlah kami waktu yang membolehkan kami berbakti
kepada-Mu, sebaliknya Dikau matikan kami bilamana Dikau ketahui dengan waktu
itu kami hanya akan menjauhi-Mu.
39. Ya Allah! Ya Hasib, wahai Tuhan yang Maha Penghitung,
tiada siapa yang lebih tepat dan cepat menghitung daripada-Mu, dengan keimanan
kami terhadap nama dan sifat-Mu ini, maka berilah perhitungan yang baik kepada
amalan baik kami dan janganlah Dikau ambil kira keburukan dan kejahatan kami,
ampunkanlah segala kesalahan kami yang lalu.
40. Ya Allah! Ya Jalil, wahai Tuhan yang memiliki sifat
Keagungan, tiada yang lebih agung daripada-Mu, terimalah pengakuan ikhlas kami
ini dan tetapkanlah kami dalam keimanan ini, bahawa tiada yang lebih agung
dalam kehidupan kami melainkan Dikau.
41. Ya Allah! Ya Karim, wahai Tuhan yang Maha Mulia,
tiada yang lebih mulia daripada-Mu, maka muliakan kami yang beriman kepada
kemuliaan-Mu, hinakanlah mereka yang tidak beriman kepada kemuliaan-Mu.
42. Ya Allah! Ya Raqib, wahai Tuhan yang Maha mengawas,
pengawasan-Mu mencakupi setiap pelusuk alam ini, tiada satu pun yang terluput
daripada pemerhatian-Mu, maka berikanlah pengawasan-Mu kepada kami,
perhatikanlah anak-anak kami, ahli keluarga kami, harta benda kami semasa
ketiadaan kami.
43. Ya Allah! Ya Mujib, wahai Tuhan yang Maha
Memperkenankandoa, perkenanlah segala permintaan kami, janganlah Dikau biarkan
tangan-tangan yang menadah ini dalam keadaan kosong dan sia-sia, kasihanilah
kami, cukupkanlah segala keperluan kami, jauhkan kami daripada keterpaksaan
meminta dan mengemis, hanya kepada-Mulah tempat kami meminta.
44. Ya Allah! Ya Wasi’, wahai Tuhan yang Maha Luas,
kurniaan-Mu adalah luas, Rahmat-Mu juga adalah luas, maka luaskanlah kurniaan
dan rahmat-Mu kepada kami.
45. Ya Allah! Ya Hakim, wahai Tuhan yang Maha Bijaksana,
tiada yang lebih bijak daripada-Mu, kebijaksanaan-Mu meliputi ciptaan-Mu dan
segala hukum penetapan-Mu, maka dengan keimanan kami terhadap kebijaksanaan_mu
ini, berikanlah kebaikan daripadanya jadikanlah kami di kalangan mereka yang
sentiasa menyanjungi ciptaandari hukum-hukum-Mu, termasuk juga hukum
syariat-Mu, janganlah Dikau jadikan hati dan pemikiran kami meremehkan
hokum-hukum-Mu.
46. Ya Allah! Ya Waduud, Dikaulah Tuhan yang Maha
Menyintai, cinta-Mu adalah hakiki, cinta-Mu adalah sejati, maka cintailah kami,
teruskan menyintai kami dan jadikanlah kami di kalangan hamba-Mu yang
menyintai-Mu, menyintai Nabi utusan-Mu, menyintai kitab-Mu, meyintai agama-Mu
dan menyintai segala orang yang Dikau cintai. Jadikanlah harti kami benci
kepada segala yang Dikau benci.
47. Ya Allah! Ya Majiid, Dikaulah yang Maha Pemurah,
murahkanlah kurniaan-Mu kepada kami, murahkan rezeki-Mu kepada kami.
48. Ya Allah! Ya Baa’ith, Tuhan yang Membangkitkan, kami
beriman bahawasanya Dikau akan bangkitkan kami sesudah mati nanti,
bangkitkanlah kami dalam kebaikan dan bersama orang-orang yang baik,
bangkitkanlah kami untuk mendapatkan kebaikan, kemuliaan dan keindahan
syurga-Mu. Janganlah Dikau bangkitkan kami dalam keadaan dosa yang tidak
terampun, ingatkanlah kami kepada hari pembangkitan-Mu, janganlah Dikau
lalaikan kami daripadanya.
Ya Allah! Ya Tuhan kami, dengan menggunakan sebahagian
daripada nama-nama-Mu yang baik ini, kabulkanlah permintaan kami. Dikau telah
menjanjikan akan mengkabulkan permintaan mereka yang berdoa dengan menggunakan
nama-nama-Mu. Kabulkanlah permintaan kami ya Allah, janganlah Dikau sia-siakan
doa kami ini.
Kami beriman kepada-Mu, beriman kepada nama-nama-Mu, dan
beriman kepada sifat-sifat-Mu yang agung. Tiada Tuhan melainkan hanya Dikau,
tiada yang berkuasa melainkan hanya Dikau.
Wa solallaahu a’laa nabiyyikal karim wa a’laa aalihi
wasohbihi ajmain, wal hamdulillahi rabbil a’lamin.
https://wanadhie79.wordpress.com
0 komentar:
Posting Komentar